Play the Live Stream or select a Podcast to play
0:00
0:00
0:00
0:00
ADVERTISEMENT
Teks oleh Shahrul Izwan Naser, Video oleh Josh Wong, Jazmin Sieh & Dean Shaari
Peperangan dan pergolakan di Afghanistan memaksa Sarah (bukan nama sebenar) menjadi "orang yang tidak diingini" di beberapa negara. Beliau telah membawa diri mencari bumbung untuk berteduh.
"Nama saya Sarah. Saya seorang guru. Saya mengajar di Afghanistan. Tapi itu dahulu. Saya kini pelarian di Malaysia," Sarah memulakan perbualannya.
"Sekolah saya dibakar dan kami dilarang mengajar. Saya ditangkap oleh tentera Taliban, ketika itu saya merasakan hampir pasti saya dibunuh," tambah Sarah lagi.
3 tahun sudah berlalu. Sarah kini menumpang berteduh di bumi bertuah Malaysia. Sarah adalah di antara 149,500 pelarian yang berdaftar di bawah UNHCR.
Peperangan dan pergolakan di Afghanistan memaksa Sarah menjadi ‘orang yang tidak diingini’ di beberapa negara. Beliau telah membawa diri mencari bumbung untuk berteduh di Pakistan, Iran dan Malaysia sejak berusia 6 tahun lagi.
"Kehidupan saya begitu sukar sekali dan dipenuhi dengan harapan yang kabur. Harapan saya untuk pulang bersama keluarga di Afghanistan. Ibu saya masih berada di sana," mata Sarah berkaca ketika bercerita mengenai keluarganya.
Walaupun begitu, Sarah bernasib baik kerana beliau tidak buta huruf dan mampu bertutur dalam bahasa asing seperti Bahasa Inggeris.
"Awak sungguh bertuah. Boleh membaca dan menulis. Dapatlah menghantar surat kepada sanak-saudara di Afghanistan. Kata mereka kepada saya," Sarah berkata ketika mengimbas kembali waktu bersama pelarian senegara suatu masa dahulu.
"Ada juga yang meminta saya untuk mengajar mereka membaca dan menulis."
Penderitaan di tanah air sendiri, membuatkan Sarah lebih tabah menghadapi cabaran di Malaysia
Kami terus leka mendengarkan kisah malang wanita ini. Sarah pernah pulang ke Afghanistan dan membuka sekolah di sana.
Umum mengetahui, sebuah negara konservatif seperti Afghanistan, di bawah pemerintahan Taliban, golongan wanita dilarang berada di tempat awam dan dipaksa berkahwin serta dibunuh demi kehormatan keluarga; apatah lagi untuk wanita menerima pendidikan dan mengajar anak bangsa.
"Mereka bakar dan musnahkan harapan saya. Tindakan mereka sungguh tidak berperikemanusiaan. Dan saya tidak pasti, adakah mereka juga manusia seperti saya?" Sarah menceritakan saat getir dalam hidupnya itu.
Saban hari, Sarah terus diganggu dan diseksa sehingga beliau membawa diri ke Malaysia.
Berada di bumi asing jauh dari kampung halaman, sememangnya amat memeritkan ditambah pula dengan rasa rindu pada sanak saudara.
Di Malaysia, Sarah dan pelarian lain berhadapan dengan masalah baru; bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sebelum menjadi pelarian, ada di antara mereka adalah pakar ekonomi, doktor perubatan --- akhirnya ada yang terpaksa menjadi buruh binaan demi menyara keluarga. Tapi itu semua tidak terbanding dengan apa yang mereka alami di tanah air sendiri, kerana sekurang-kurangnya mereka selamat dan punya tempat berteduh di sini.
Suzanne Ling & Swee Lin Lee, pengasas bersama The Picha Project
“Ketika pertama kali bertemu Sarah, beliau menceritakan bagaimana kehidupannya yang sempurna di Iran dan kemudian pulang ke Afghanistan untuk membuka sekolah di sana --- diserang dengan teruk oleh Taliban. Walaupun kami tidak bertanya secara terperinci, namun ia sungguh mengejutkan,†kata Suzanne Ling, pengasas bersama Picha Project.
Suzanne Ling, Swee Lin Lee dan Kim Lee merupakan pengasas bersama The Picha Project, sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan bagi membantu pelarian membina kehidupan mereka.
Perusahaan sosial merupakan sebuah bentuk perniagaan yang tidak meletakkan keuntungan wang ringgit 100 peratus, namun lebih kepada impak sosial terhadap penerima manfaat. Ini terbukti melalui model perniagaan mereka yang menunjukkan penerima manfaat iaitu keluarga pelarian menerima agihan pendapatan terbesar iaitu sebanyak 50 peratus.
The Picha Project menjalankan perniagaan katering dan perkhidmatan penghantaran makanan. Mereka membantu pelarian ini dengan menggajikan pelarian untuk memasak hidangan berdasarkan resipi tradisional mereka. The Picha Project bertindak sebagai platform untuk mereka belajar mengenai pengurusan inventori, perakaunan dan paling penting,menyara keluarga mereka.
“Sebelum ini mereka mempunyai kerjaya yang sangat baik, oleh kerana perang dan keadaan hidup yang mendesak, mereka datang ke Malaysia.
Di sini, mereka tidak dapat mencari pekerjaan kerana status mereka dan tidak dilindungi oleh undang-undang Malaysia.
Masyarakat tempatan secara umumnya mempunyai persepsi bahawa pelarian seolah-olah ingin merampas peluang pekerjaan daripada rakyat Malaysia.
Sejujurnya, mereka tidak mahukan sebarang konflik dengan rakyat tempatan. Mereka hanya mahu diberi peluang untuk bekerja dan dibayar setimpal demi survival mereka,†kata Swee Lin Lee.
Sehingga kini, The Picha Project menggajikan sembilan keluarga pelarian dari Iraq, Myanmar, Syria, Palestin dan Afghanistan. Sebanyak 20 ribu hidangan telah dinikmati oleh pelanggan mereka dan keluarga pelarian tersebut menerima manfaat menerusi sumbangan RM154 ribu daripada The Picha Project.
Selain itu, impak perniagaan The Picha Project bukan sahaja diukur berdasarkan agihan pendapatan terbesar kepada penerima manfaat, malah diukur menerusi petunjuk utama seperti impak kepada ekonomi komuniti, meningkatkan taraf sosial penerima manfaat, dan penggunaan bahan mesra alam sekitar untuk pembungkusan hidangan.
Sarah berharap untuk melakukan sesuatu untuk para pelajarnya
“Saya menyimpan harapan, suatu hari nanti, negara kami akan pulih dan selamat agar kami boleh pulang. Saya juga ingin memohon maaf kepada pelajar-pelajar saya kerana saya tidak berdaya untuk membantu mereka.â€
Selagi saya masih bernyawa dan berkesempatan pulang, saya akan melakukan sesuatu.
Inilah janji saya. Mungkin bukan sekarang. Suatu hari nanti dengan izin Tuhan,†Sarah mengakhiri perbualannya bersama kami.
Kisah mengenai pelarian wanita berjiwa besar, bernama Sarah ini sememangnya memberikan inspirasi kepada semua.
Di sebalik kepayahan di negara asing, bagaimana beliau mempertahankan apa yang beliau percaya; kecintaan kepada keluarga, masyarakat dan negaranya, biar jauh beribu batu --- Sarah tetap menantikan sinar harapan untuk pulang dan berbakti semula kepada tanahairnya.
*Anda juga boleh membantu pelarian seperti Sarah dengan menyumbang menerusi The Picha Project. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.pichaproject.com/
Related Content
ADVERTISEMENT
ADVERTISEMENT
ADVERTISEMENT